Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tindakan Thailand  mengurangkan eksport gula mentah tidak akan menjejaskan bekalan dalam negara.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana Malaysia tidak mengimport gula mentah daripada negara tersebut.

“Jadi dengan apa yang berlaku di Thailand, kekurangan eksport atau kenaikan harga gula mentah tidak akan memberi kesan kepada kita kerana kita tidak ambil gula mentah dari sana,” katanya ketika sidang media selepas menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di sebuah pasar raya di sini.

Terdahulu, beliau mengakui berlaku kenaikan harga gula mentah di peringkat global sebanyak 52 peratus pada masa ini berbanding pada tahun 2021.

Menurut Armizan, senario ini sudaj pasti memberi kesan kepada dua kilang pengeluar gula iaitu CSR dan MSM.

“Kita difahamkan bahawa kedua-dua syarikat pengeluar memang berhadapan dengan masalah kerana bagi setiap kilogram yang dijual iaitu RM2.85 sen, mereka rugi 88 sen dan sekarang kita sedang jalankan libat urus dengan kedua-dua syarikat ini.

“Kita cuba untuk menangani masalah ini dan juga berunding dengan agensi pusat, jadi kita berharap kita dapat menangani masalah ini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette