Pasukan UPM merakam gambar kenangan bersama setelah meraih Naib Johan Festival Teater Pengguna Siswa MAKUM 2023, pelakon wanita terbaik dan skrip terbaik.

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meraih naib johan Festival Teater Pengguna Siswa Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2023 di sini, semalam.

UPM yang menjadi tuan rumah festival tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan plak iringan.

Pengarah pasukan, Muhammad Alzammudin Serajudeen, 21, gembira apabila hasil penat lelahnya selama sebulan bersama 19 lagi ahli kumpulannya membuahkan hasil kejayaan.

“Sejak awal ahli teater kami sering berubah-ubah kerana masing-masing mempunyai komitmen tersendiri memandangkan masing-masing dalam jurusan pengajian yang berbeza dan kami juga hampir berputus asa.

“Namun kejayaan hari ini sangat berbaloi dengan segala cabaran dan keringat bertungkus lumus bersaing dengan 16 lagi pasukan universiti awam yang lain. Mungkin pada tahun hadapan kami akan cuba untuk merampas takhta juara,” katanya.

Alzammudin berkata, kerjasama ahli kumpulannya berjaya mencapai sasaran awal untuk menjadi tiga pasukan terbaik dalam anugerah utama.

Dalam pada itu, pasukan UPM turut memboloti anugerah skrip terbaik dan pelakon wanita terbaik dengan membawa pulang RM300 bagi setiap anugerah.

Pasukan UPM telah menghasilkan sebuah teater berkenaan kehidupan dua keluarga yang hidup berjiran di pangsapuri B40 menguruskan perbelanjaan dan kehidupan.

Festival teater ini merupakan penganjuran kali kedua selepas julung kali diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu. – MalaysiaGazette