Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Auditorium Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 22 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menepis dakwaan pembangkang yang mendakwa mereka berdepan isu pilih kasih dalam melaksanakan undang-undang Akta Hasutan 1948.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Nasution berkata, identiti politik sesebuah parti tidak menjadi masalah di negara ini kerana kebanyakan parti sudah lama bertunjangkan konsep tersebut.

Namun jelas beliau, yang menjadi masalah apabila berlaku pertembungan politik, penyelewangan akidah dijadikan bahan yang dilemparkan kepada parti lain.

Saifuddin juga memetik beberapa contoh kenyataan pemimpin pembangkang ketika berceramah dan memberi khutbah di Pulau Pinang yang dikatakan berbaur hasutan.

“Bila berlaku pertembungan, perbezaan politik dikatakan perbezaan akidah, yang itu jadi masalah.

“Jadi (perkara) ini, kena ada batasan undang-undang untuk mengawalnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sebelum itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertanyakan kepada beliau apabila mendakwa Akta Hasutan mempunyai kelompongan yang boleh disalah guna oleh pihak berkepentingan dan menyoal adakah kerajaan sedia untuk memansuhkannya.

“Sebagai pengamal undang-undang, kita melihat terdapat loophole (kelompongan) yang boleh disalah guna terutamanya pihak kerajaan terhadap pihak yang bercanggah kepentingan dengan kerajaan.

“Adakah kerajaan ada niat (intention) supaya akta ini tidak boleh disalahgunakan mana-mana pihak penguatkuasa,” soal Takiyuddin.

Saifuddin kemudian membidaskan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) dengan mempersoalkan adakah beliau membuat perkara sama iaitu menggubal atau memansuhkan akta hasutan ketika menjadi menteri undang-undang pada era Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Takiyuddin menjawab pihaknya ada berniat berbuat demikian namun tidak sempat melaksanakan pindaan tersebut kerana tempoh pentadbiran yang singkat. – MalaysiaGazette