Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau tidak pernah berunding dengan dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu bagi menyokong kerajaan pimpinannya.

Malah beliau menegaskan, mereka iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman juga tidak pernah bertemu dengan mana-mana menteri Kabinet sebelum membuat keputusan itu.

“Kenyataan dari Kuala Kangsar dan Labuan itu tidak dirunding dengan saya atau mana-mana menteri.

“Kalau mahu penjelasan, tanya kepada Kuala Kangsar dan Labuan. Tentu saya mengalu-alukan kerana kematangan dan kebijaksanaan mereka,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, Suhaili  menzahirkan sokongan beliau kepada kepimpinan Anwar berkuatkuasa serta-merta.

Menurut Ahli Parlimen PN itu, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira semua permasalah rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, serta masalah bekalan air dan elektrik di sana,

“Saya sebagai Ahli Parlimen Labuan dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar İbrahim, Perdana Menteri Malaysia Ke-10 bermula daripada kenyataan ini dikeluarkan,” kata Suhaili dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, pada 12 Oktober, Iskandar Dzulkarnain turut memutuskan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Oleh yang demikian, saya menyokong YAB Perdana Menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast