AZ Pemurah dan pasukannya menyampaikan bantuan beras dan wang ringgit kepada pekerja pembersihan MBSP di Bandar Perda, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – “Niat saya agih bantuan dan jadikan ia sebagai kandungan video TikTok hanya untuk memberi inspirasi kepada golongan berkemampuan agar kongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan”.

Demikian kata usahawan perniagaan tudung yang mengekalkan kerahsiaan identiti diri dengan menggunakan gelaran AZ Pemurah.

Menurut wanita tersebut, usaha membantu golongan kurang berkemampuan itu dilakukan sejak setahun lalu dan ia adalah hasil daripada keuntungan perniagaan yang dijalankan.

Usahawan wanita yang mahu identitinya dirahsiakan.

“Memang saya akan asingkan 30 peratus keuntungan untuk diagihkan semula kepada masyrakat dan pemberian bantuan pula dibuat berdasarkan keadaan semasa.

“Bantuan diberikan dalam bentuk wang ringgit dan barang keperluan asas kerana saya percaya ramai mengerahkan kudrat masing-masing untuk kelangsungan hidup tambahan pula dengan keadaan ekonomi kini.

“Bagaimanapun, pemberian bantuan itu hanya diberikan kepada mereka yang berusaha mencari rezeki bukannya terhadap mereka yang mengharapkan bantuan semata-mata tanpa mengusahakan sebarang pekerjaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, ramai pihak meminta identiti dirinya didedahkan memandangkan video agihan bantuan tidak menunjukkan wajah mahu pun namanya disebut.

Kira-kira 400 kampit beras diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan.

“Bagi saya identiti itu tidak penting untuk didedahkan kerana objektif dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan ini hanya untuk dijadikan inspirasi oleh mereka yang berkemampuan.

“Saya percaya jika lebih ramai orang kaya turut sama agihkan bantuan atau kongsi rezeki akan dapat meringgankan bebanan golongan kurang berkemampuan meneruskan kehidupan harian mereka,” katanya yang memakai pelitup muka.

Terdahulu, AZ Pemurah dan pasukannya mengagihkan 400 kampit beras dengan berat keseluruhan empat tan kepada penduduk sekitar Bukit Mertajam, penghantar makanan serta pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Seberarang Perai (MBSP) atau lebih dikenali sebagai Wira Oren.

Mohd Solihin.

Sementara itu, Mohd Solihin Ahmad, 32, meluahkan rasa terharu apabila dia didekati usahawan wanita itu dengan menghulurkan sekampit beras serta wang ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di Bandar Perda di sini.

“Selalu orang macam kami (pekerja pembersihan) jarang ada pihak luar nak datang tegur tapi mereka (AZ Pemurah) ini lain tampil terus sampaikan bantuan tanpa mendedahkan identiti.

“Memang rasa syukur sangat dalam keadaan panas terik tiba-tiba dapat bantuan beras dan wang ringgit,” katanya.

Mohd Munawar.

Bagi Mohd Munawar Mohd Subri, 36,  pemberian sekampit beras 10 kilogram besertakan wang itu meringankan bebanan mereka sekeluarga.

“Tak sangka ada orang buat pendekatan memberikan bantuan sebegini dan bagi saya yang mempunyai empat orang bantuan sebegini amat bermakna tambahan pula dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast