Cakra Khan kembali lagi ke negara ini untuk mengadakan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan kembali lagi ke negara ini untuk mengadakan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 Februari depan.

Menurut Cakra, apa yang istimewa pada konsert itu apabila dia akan diiringi orkestra yang diketuai maestro tersohor, Datuk Ramli MS.

Pemilik nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman memilih Februari kerana ia merupakan bulan kelahirannya selain mahu melancarkan album terbaharu pada waktu itu.

“Sebagai seorang penyanyi, saya merasakan alunan lagu akan lebih indah dan ‘hidup’ apabila dibawakan dalam orkestra penuh. Justeru menyanyi diiringi muzik orkestra di atas pentas merupakan impian saya selama menjadi penyanyi dan ia merupakan kemuncak kepada karier saya.

“Jadinya versi konsert kali ini akan berbeza dengan yang pertama kerana ia menampilkan lebih-lebih lagi kerana ia bakal dijayakan dengan iringan orkestra di bawah pimpinan Datuk Ramli MS,” katanya.

Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 Februari depan.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di sini baru-baru ini.

Turut hadir, penganjur konsert iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Seven Skies Motion Sdn. Bhd., Azlin Hilda Abdul Latif.

Mengulas lanjut, Cakra menjanjikan beberapa seleksi lagu baharu yang akan menjadi ‘hadiah’ buat peminat di Malaysia.

Malah beberapa penyanyi terkenal Malaysia akan turut sama berkolaborasi pada malam konsert.

“Malam Februari itu akan menjadi detik yang cukup bermakna kerana akan ada lagu yang pertama kali dinyanyikan menerusi album baharu.

“Malah saya akan turut menjemput penyanyi popular Malaysia untuk turut sama, cumanya belum ditentukan lagi siapa,” katanya yang berusia 31 tahun.

Konsert Cakra Khan kali kedua akan diiringi orkestra yang diketuai maestro tersohor, Datuk Ramli MS.

Sementara itu, Azlin Hilda meluahkan rasa berbesar hati untuk sekali lagi membawa Cakra ke Malaysia selepas melihat kejayaan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023 pada Januari lalu.

“Saya lihat ada keserasian dan masing-masing menunjukkan komitmen yang baik, tanpa berfikir panjang dan saya mengajak Cakra Khan untuk mengadakan konsert kali kedua pada Februari tahun depan.

“Orkestra ini adalah idea dan hasil perbincangan bersama. Cuma untuk konsert kedua ini, kami akan tambah baik lagi. Kalau konsert pertama sudah ada satu penanda aras baik, jadi kami merancang untuk berikan lebih daripada yang sebelumnya,” katanya.

Awal tahun ini, Cakra berjaya menghiburkan lebih 2,500 penonton yang memenuhi Dewan Plenary KLCC.

Dia menghangatkan suasana dengan untaian lagu popularnya seperti Adalah Aku, Salah Tapi Baik dan Cintamu Bukan Untukku.

Cakra terus membuai emosi penonton dengan lagu Kepada Hati, Mencari Cinta Sejati, Opera Tuhan termasuk lagu baharu berjudul Nanti sebelum meneruskan momentum bertenaga dengan Hanya Memuji nyanyian asal Shanty, I Will Survive (Gloria Gaynor), Jealous (Labyrinth) dan Kamelia (Sweet Charity).

Pemilik nama sebenar Cakra Konta Paryaman itu turut berduet dengan dua penyanyi popular, Khai Bahar dan Aina Abdul menerusi lagu Bukan Cinta Biasa, Seluruh Cinta dan Terlalu Cinta.

Sebelum menutup tirai konsert, Cakra memenuhi hasrat peminat dengan memperdengarkan lagu keramatnya, Harus Terpisah dan Kekasih Bayangan.

Antara selebriti yang turut hadir memberi sokongan termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Rossa, Puteri Sarah Liyana, MK K-Clique, Azira Shafinaz, Nabil Ahmad, Fazura, Fattah Amin dan Sherry Alhadad. – MalaysiaGazette

Cakra Khan dan Azlin Hilda Abdul Latif (kanan).