GEORGE TOWN – Seorang lelaki tempatan sanggup mengadai nyawa membawa rokok seludup sejauh 500 kilometer dari Terengganu ke Pulau Pinang semata-mata untuk mendapat upah RM500.

Bagaimanapun, kegiatan suspek berusia 54 tahun sejak tiga bulan lalu berjaya ditumpaskan selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menahannya di Kilometer 116.5 Lebuh raya Utara Selatan arah utara berhampiran Sungai Bakap di sini, semalam.

Timbalan Komander PPM Wilayah Satu, Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, pihaknya mengesan van berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan selain bahagian dalam van berkenaan ditutup dengan kain hitam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Rohizan.

Jelas beliau,  pemeriksaan ke atas van tersebut membawa kepada penemuan lebih 528,000 batang rokok jenis kretek bernilai RM649,840.

“Hasil siasatan mendapati rokok itu diseludup masuk dari Indonesia menerusi laluan laut sebelum diambil ahli sindiket di sebuah daerah di Terengganu.

“Rokok itu kemudian diberikan kepada  ‘transporter’, di suatu tempat di Terengganu untuk dibawa ke Utara tanah air bagi diagihkan kepada pembekal agar ia dijual kepada pembeli.

“Sindiket juga bergerak pada waktu malam hingga lewat pagi bagi melintasi kawasan lebuh raya selain menggunakan khidmat tonto untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,”katanya pada sidang media di PPM Wilayah Satu di Batu Uban di sini, hari ini.

Rohizan (dua dari kanan) menunjukkan rampasan rokok seludup pada sidang media hari ini.

Menurut Rohizan, suspek yang sudah tiga bulan menjalankan kegiatan itu dipercayai menerima upah sebanyak RM500 bagi setiap kali penghantaran.

“Barangan itu dihantar dua kali seminggu dan kita masih menyiasat penglibatan individu lain dalam sindiket terbabit.

“Suspek ditahan reman selama 10 hari sehingga 10 November ini dan semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod kesalahan lampau.

“Kes diserah kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette