KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menaikkan kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi jika subsidi bersasar dapat dilaksanakan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, ini kerana fokus tumpuan kerajaan ketika ini untuk melaksanakan subsidi bersasar.
“Seperti yang kita ketahui kuota rasmi yang dikeluarkan kerajaan 10,000 metrik tan sebulan dan untuk tambah lagi 10,000 metrik tan lagi, kerajaan hari ini beri tumpuan kepada penyasaran subsidi.
“Sekiranya kita berjaya lakukan penyasaran subsidi melalui tujuh langkah yang saya katakan tadi, kuota 10,000 tidak diperlukan ketika ini,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Fuziah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah).
Ahli Parlimen Rasah itu mengemukakan cadangan supaya kerajaan mengeluarkan kuota tambahan minyak masak sebanyak 10,000 tan metrik lagi bagi memenuhi keperluan pasaran termasuk peniaga mikro.
Mengulas mengenai pengeluaran 5,000 tan tambahan minyak masak tanpa direkodkan, Fauziah berkata, proses audit sedang dijalankan namun belum ada jawapan yang dapat diberikan ketika ini.
“Ketika ini audit dalaman sedang dijalankan, saya tak boleh jawab hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette