MYAirline
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan lima program intervensi awal setakat ini untuk membantu merungkai kemelut dialami pekerja syarikat penerbangan, MYAirline Sd. Bhd. (MYAirline).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, intervensi pertama diambil melalui mesyuarat secara dalam talian bersama pengurusan sumber manusia syarikat penerbangan berkenaan pada 12 Oktober lalu sejurus selepas ia mengumumkan penggantungan operasi.

Beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) untuk merencana usaha menyerap kakitangan MYAirline melalui temu duga bagi jawatan kru kabin, jurutera dan khidmat pelanggan pada 14 Oktober lalu.

Tambahnya, berkutan itu dua lagi mesyuarat lanjutan iaitu secara dalam talian dan fizikal, masing-masing diadakan pada 18 dan 19 Oktober lalu.

“Mesyuarat membabitan pengurusan tertinggi MYAirline ini adalah untuk merangka program susulan yang perlu diadakan secepat mungkin, demi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup pekerja syarikat penerbangan ini terjamin.

“Justeru, hasil mesyuarat itu kemudian membawa kepada taklimat faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan pemprofilan pekerja oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan untuk kakitangan MYAirline berlangsung di Subang Jaya selama dua hari bermula 25 Oktober lalu.

“Menerusi taklimat ini, Perkeso juga mendapatkan butiran pekerja MYAirline untuk proses 357 permohonan faedah SIP bagi tempoh maksimum selama enam bulan, demi menjamin kelangsungan hidup keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohammed Azman, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) dalam usaha menyalurkan bantuan kepada pekerja MYAirline.

Katanya, Perkeso akan terus melipatgandakan usaha ke arah penyaluran bantuan, termasuk daripada segi pemberian faedah, penempatan pekerjaan baharu dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja syarikat penerbangan tersebut. – MalaysiaGazette