Mustapha Yaakub
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Notis tata tindak (demarche) yang dihantar oleh Amerika Syarikat (AS) membuktikan negara itu secara jelas cuba menunjukkan kuasanya dengan campur tangan dalam urusan sebuah negara lain yang merdeka dan berdaulat.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Malaysia ialah negara aggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang sah dan telah menyatakan dengan tegas pendiriannya mengutuk serangan rejim Zionis Israel ke atas Gaza dan rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Menurut beliau, Malaysia mengundi menyokong gencatan senjata di PBB serta mempelopori desakan menyokong Palestin dalam Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk (GCC) dan ASEAN.

“Kita telah mengambil pendekatan diplomatik antarabangsa bagi menghentikan tindakan jahat Israel itu. Namun, AS tidak senang dengan kelantangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Israel kerana AS sedar mereka yang sebenarnya di belakang Israel,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin, Anwar memaklumkan, Malaysia telah menerima tiga notis tata tindak daripada AS ekoran pendirian keras mengecam keganasan rejim Zionis Israel di Gaza serta keengganan melabelkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas.

Mustapha menambah, suara Anwar adalah suara rakyat Malaysia yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Beliau memberitahu, AS menggunakan saluran diplomatik melalui notis tata tindak untuk meredakan kelantangan Perdana Menteri.

“Tindakan itu jelas tidak beretika oleh sebuah negara besar kepada negara kecil demi untuk menjaga kepentingan sekutunya Israel,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mustapha berkata, Veteran UMNO membantah tindakan AS menghantar notis tata tersebut kepada Malaysia.

Menurut beliau, sama ada notis itu bertujuan ‘memujuk atau menjelaskan kehendak secara diplomatik’ oleh AS kepada Malaysia, ia jelas menunjukkan negara berkenaan menggunakan ‘paksaan dan desakan serta ugutan secara halus’ kepada Malaysia.

“AS tahu pendirian Malaysia tidak pernah berubah dari awal terhadap isu Israel dan sokongannya kepada Palestin.

“Jadi, tindakan AS menghantar notis tata tindak itu boleh dianggap sebagai usaha mengugut Malaysia yang boleh ditafsirkan dengan tindakan susulan yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette