Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Kerajaan secara rasminya melancarkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dan membuka permohonannya, khusus kepada pengusaha-pengusaha Menu Rahmah, bermula hari ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan itu boleh dibuat dan diakses melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.

“Antara syarat yang diperlukan untuk memohon Kad Diskaun Khas Menu Rahmah ini adalah pengusaha yang terdiri daripada warganegara Malaysia dan berdaftar secara sahsebagai pengusaha Menu Rahmah di bawah KPDN dan Kos Sara Hidup.

“Selain itu perniagaan pengusaha itu wajib berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada sidang media pelancaran Kad Diskaun Khas Menu Rahmah, di sini, hari tadi.

Tambah beliau, pihaknya merintis usaha dan memperkenalkan Kad Diskaun Khas berkenaan sejajar dengan hasrat untuk memberikan insentif penghargaan kepada pengusaha Menu Rahmah dengan 2,849 premis berdaftar menawarkan Menu Rahmah.

Katanya, pada masa yang sama, inisiatif pengenalan kad diskaun khas berkenaan merupakan salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan program Menu Rahmah sebagai galakan untuk meningkatkan bilangan penyertaan pengusaha restoran.

Sementara itu, Armizan berkata, pengusaha yang sudah menawarkan Menu Rahmah sejak diperkenalkan akan diberi keutamaan dalam inisiatif berkenaan.

Jelas beliau, bagi pengusaha yang baru erancang untuk menyertainya, mereka akan dipantau setelah mereka mendapat Kad Diskaun Menu Rahmah

Katanya, Bahagian Penguatkuasa KPDN akan melihat secara berkala sama ada menu itu benar-benar ditawarkan di premis mereka untuk tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

“Justeru, penawaran Kad Diskaun Khas Menu Rahmah ini merupakan program rintis bersama antara kementerian dan pemain industri sektor perdagangan dan pengedaran di dalam negara.

“Kementerian juga menghargai komitmen enam pasar raya iaitu AEON BiG, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin dan NSK yang turut bersetuju untuk terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini,” ujarnya.

Menteri Tugas-Tugas Khas itu menegaskan, antara barangan yang ditawarkan ialah kadar diskaun kepada pengusaha Menu Rahmah yang diluluskan penyertaannya dalam program itu membabitkan bahan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan yang lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan menu.

Pertanyaan mengenai inisiatif kad diskaun Khas i itu boleh diajukan dengan menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03-8882 5881/5905 atau menerusi e-mel kepada [email protected].-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast