PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan semula Datuk Prof. Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
UMPSAdikenali sebagai Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebelum ini.
Menurut kenyataan KPT, tempoh perkhidmatan beliau adalah satu tahun, berkuat kuasa mulai 1 November 2023 sehingga 31 Oktober 2024.
“Pelantikan semula ini bagi membolehkan Prof. Ts. Dr. Yuserrie meneruskan perancangan untuk memacu UMPSA sebagai sebuah universiti teknikal yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan, khususnya dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.” katanya, hari ini.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum menyambung pengajian dalam bidang Perdagangan di University of Wollongong, Australia pada 1992.
Yuserrie juga memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1997.
Beliau pernah menjadi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) selama 11 tahun.
Dengan pelantikan semula Yuserrie sebagai Naib Canselor, KPT yakin UMPSA dapat memperkasakan sistem kemahiran nasional melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bersifat kalis masa depan. – MalaysiaGazette