KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah filem Mar Rak, Datuk TS Jeffry menafikan pihaknya sengaja mencari publisiti murahan susulan kebocoran sedutan babak panas dalam filem itu yang tular di YouTube baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya dapat mengenal pasti individu yang menyebarkan video itu tanpa kebenarannya.
Malah syarikat produksinya akan memanggil kesemua kru yang terlibat produksi filem itu dalam waktu terdekat.
Pemilik Pentas Wayang Production itu tidak tergamak melakukan taktik pemasaran dan bukan strategi pihaknya untuk buat gimik demikian yang disifatkan sebagai promosi yang tidak sihat.
“Kalau saya tahu siapa individu itu saya sedia untuk mengambil tindakan. Hendak kata ada unsur sabotaj saya pun saya tidak berani cakap lebih.
“Tetapi saya ingin tegaskan filem ini bukan untuk menonjolkan adegan seks seperti yang didakwa ramai pihak,” katanya pada sidang media Tayangan Perdana Filem Mar Rak di sini baru-baru ini.
Minggu lalu, tular klip pendek memaparkan babak intim yang dilakonkan Kael Lean Chien Er yang membawa watak Krasem dan Nina KSC (Ai Ling) dalam sebuah rumah.
Klip itu dimuat naik di Youtube, Donthaveaname dan beberapa platform media sosial lain.
Mengulas lanjut, Jeffry memberitahu , Mar Rak mendapat kelulusan 100 peratus Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk tontonan dengan klasifikasi P13.
“Saya sendiri tidak mahu memaparkan adegan keterlaluan dan filem ini cuma ada sikit babak yang memaparkan heroin menggoda pelakon utama.
“Ini kerana mesej yang cuba diketengahkan dalam filem adalah berkaitan minyak dagu atau sihir pengasih. Jadi, kalau tidak ditonjolkan adegan begitu tidak sampai mesej itu kepada penonton,” katanya.
Sementara itu, filem Mar Rak mengisahkan percintaan Krasem dan Rashida yang terjalin secara rahsia kerana perbezaan agama dan bangsa.
Dicemburui oleh Ai Ling kerana cintanya tidak dibalas, Krasem terpaksa menolak cinta Ai Ling kerana hatinya telah dimiliki oleh Rashidah.
Ai Ling yang sangat sayang kepada Krasem berasa kecewa kerana cintanya ditolak mulai marah dan dendam sehingga sanggup menggunakan jampi mentera hikmat dari Mophi iaitu bomoh hantu bagi menjayakan hasratnya memiliki cinta Krasem.
Filem Mar Rak menemui penonton hari ini dan antara barisan artis yang menjayakannya ialah Kael, Shatirah Amanda, Nina KSC dan Dyvianna James. – MalaysiaGazette