Mohd Hairi (tengah) merasmikan pelancaran Festival Usahawan Nusantara (FUN 2023) di Arena Larkin hari ini.

JOHOR BAHRU – Bagi usaha menembusi pasaran antarabangsa, pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Johor perlu melakukan pemadanan perniagaan dengan negara jiran.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah itu boleh dimulakan denganmenjalinkan kerjasama usahawan Indonesia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, sektor halal antara yang mempunyai potensi dan pulang besar.

“Antara kluster perniagaan berkaitan dengan sektor halal yang boleh disatukan seperti makanan, kosmetik, logistik, pendidikan, perkhidmatan, perbankan patuh syariah dan lain-lain,” katanya¬†ketika berucap merasmikan pelancaran Festival Usahawan Nusantara (FUN 2023) di Arena Larkin hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Konsul Jenderal Kedutaan Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto.

Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri yakin pengusaha IKS di negeri ini akan dapat menembusi pasaran antarabangsa dengan langkah tersebut.

“Johor komited dalam usaha meluaskan pasaran usahawan tempatan di negara serantau dengan menyediakan platform terbaik bagi pengeluar industri halal Malaysia terutama dari Johor mempromosi dan menggalakkan pasaran pengguna halal dalam dan luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran FUN 2023 mampu mengangkat semangat kejiranan negara di nusantara melalui sektor keusahawanan.

Sementara itu, FUN 2023 selama empat hari bermula hari ini itu mengumpulkan seramai 90 pempamer termasuk usahawan-usahawan IKS dari Indonesia.

Mohd Hairi mahu usahawan untuk menimba ilmu dan meneroka potensi, keupayaan dan kapasiti melalui pelbagai kemudahan disediakan kementerian dan agensi-agensi berkaitan termasuklah Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd. – MalaysiaGazette