Natrah Ismail

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail meninggal dunia akibat kanser di Hospital Segamat, Johor malam tadi.

Allahyarhamah yang berusia 73 tahun adalah Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat menghembuskan nafas terakhir kira-kira  9 malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Natrah dalam media sosialnya hari ini.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan ruh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan PKR juga mengucapkan takziah menerusi platform X kepada keluarga allahyarham dan menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik, tertib dan sentiasa gigih memperjuangkan nasib rakyat.

Fahmi turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat selain berharap seluruh keluarga Allayarhamah akan tabah hadapi dugaan ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim turut merakamkan ucapan takziah di atas pemergian allahyarham.

Beberapa pemimpin PKR termasuk Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Juwariya Zulkifli turut mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarhamah.

“Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga dan warga Keadilan Johor di atas pemergian Hajah Natrah Ismail, mantan Ahli Parlimen Sekijang yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat (MPWP) akibat kanser.

“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Untuk makluman, Natrah telah dipilih menjadi Ahli Parlimen Sekijang pada Pilihan Raya Umum tahun 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast