Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan barangan yang di rampas dalam kes "Love Scam" semasa sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 03 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 644 mangsa sindiket penipuan ‘love scam’ yang menyasarkan mangsa wanita dilaporkan kepada polis, termasuk isteri orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang berusia antara 30 sehingga 50 tahun itu kebanyakkan sudah berkahwin.

“Ada kemungkinan terdapat isteri-isteri yang membelakangi suami dengan melayan cinta alam maya menerusi media sosial.

“Wanita-wanita ini diperdaya melalui aplikasi seperti Facebook, Tinder, Whatsapp, WeChat dan sebagainya sehingga mangsa kepada sindiket ini.

“Saya mohon kepada kumpulan supaya perbuatan ini bagi elak diri menjadi mangsa kerugian wang selepas percaya kononnya ada yang menyayangi mereka secara alam maya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, polis tidak dapat menghalang mereka menjadi mangsa penipuan love scam dan berharap mereka lebih berhati-hati.

Sementara itu, Ramli memberitahu, JSJK dengan kerjasama Autralian Federal Police (AFP) berjaya menumpaskan sindiket penipuan Business Email Compromise (BEC) melalui Operasi Kedasih.

Kata beliau, pihaknya menerima maklumat daripada AFP bahawa terdapat sebuah syarikat di Australia mengalami kerugian disebabkan sindiket itu.

“JSJK telah kesan sindiket penipuan BEC ada menjalankan operasi di Malaysia. Berdasarkan maklumat, terdapat syarikat di Australia mengalami kerugian berjumlah A$134,576 (RM403,864).

“Ini selepas syarikat itu berurusan  melalui transaksi bank, kad kredit, nombor telefon dan alamat yang dikaitkan dengan Malaysia, kita buat serbuan di lima buah premis di sini.

“Hasıl serbuan itu, enam lelaki warga asing dan dua wanita warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 39 tahun berjaya ditahan. Kita juga rampas enam komputer riba, 13 telefon bimbit, tiga pasport, tiga modem, dua set anak kunci, dua kad ATM dan dua kereta,” ujarnya. -MalaysiaGazette