ROMPIN – Pendayung Persatuan Sukan Kanu Pahang (PSKP), Khairul Naim Zainal menjuarai Peringkat 1 Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 di Pantai Rantau Panjang di sini hari ini.
Tampil buat kali pertama pada kejohanan kanu antarabangsa yang memasuki edisi kedua itu, Khairul Naim berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara kategori Kebangsaan SS1 lelaki dengan catatan masa 1 jam 5 minit dan 56.18 saat (s).
Menerusi keyataan oleh POPIC 2023, Khairul Naim meninggalkan dua pencabar terdekatnya dari Johor – Montoya Raw dan Mirza Adli Shaharaziz yang masing-masing menamatkan perlumbaan sejauh 14 kilometer (km) itu di tempat kedua dan ketiga.
“Syukur alhamdulillah atas kemenangan pada hari ini (Jumaat). Sebenarnya tidak ada rahsia yang khusus tetapi saya hanya cuba menampilkan kayuhan yang baik daripada awal sehingga penghujung perlumbaan.
“Daripada segi cabaran, memang saya akui agak mencabar dan jarak perlumbaan juga agak jauh. Ini perlumbaan pertama dalam acara sebegini dan saya banyak belajar terutamanya dalam mengawal kanu.
“Insya-Allah saya akan terus perbaiki apa yang kurang bagi menghadapi perlumbaan akan datang. Saya cuba kekalkan kedudukan selaku pendahulu ini sehingga peringkat terakhir di Kuantan nanti,” katanya.
Sementara itu, kategori Kebangsaan SS1 wanita pula menyaksikan pendayung Johor, Nur Atasha Nabila Saring muncul juara dengan catatan 1:10:23:67s.
Manakala dua wakil Selangor, Nor Ismalina Isnadi (1:37:41.24s) dan Nor Amirah Nabila Amir (1:37:58.04s) di tempat kedua dan ketiga.
“Kemenangan hari ini tidak semudah yang disangka. Ia satu perlumbaan yang agak mencabar tetapi saya gembira apabila dapat mengekalkan momentum sejak awal perlumbaan sehingga berjaya melintasi garisan penamat.
“Saya akui ketiadaan juara edisi lalu, Aimi Ayumi Azwan membuka peluang bagi saya untuk menjuarai kategori ini.
“Saya harap dapat kekalkan prestasi sebegini pada dua peringkat akan datang di Pekan dan Kuantan,” ujarnya. – MalaysiaGazette