Home Dunia Wartawan TV Palestin mangsa korban terbaharu rejim zionis

Wartawan TV Palestin mangsa korban terbaharu rejim zionis

KUALA LUMPUR – Seorang lagi wartawan penyiaran TV Palestin dilapor terkorban bersama keluarganya dalam serangan udara yang dilakukan regim Zionis di Gaza.

Perkhabaran mengenai kematian Mohammad Abu Hattab dimaklumkan oleh rakan sekerjanya, Salman Al-Bashir menerusi siaran secara langsung dengan rakannya yang juga penyampai berita di studio dari sebuah hospital.

Rakaman itu dimuat naik menerusi laman X Ambassador Majed Bamya Salman dan telah ditonton hampir sejuta tontonan.

“Kami tak boleh terima lagi, kami ‘penat’. Kami menjadi mangsa. Perbezaan antara kami ialah waktu kematian. Satu demi satu terkorban dan tiada yang peduli mengenai kematian atau jenayah yang terpaksa dihadapi penduduk di Gaza.

“Jaket dan topi keledar ini tidak melindungi mana-mana wartawan, ia hanya slogan kosong. Kami adalah mangsa, menunggu masa untuk dibunuh. Mohammad berada di sini setengah jam lalu (membuat liputan).

“Kini, dia meninggal dunia bersama keluarganya di hospital yang sama,” kata Salman dalam posting yang dimuat naik di laman sosial berkenaan.

Penyampai berita itu turut dilihat menangis mendengar keluhan daripada Salman.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya lapan wartawan terbunuh dan dua lagi hilang selepas serangan udara dilakukan oleh regim Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lepas.

Media antarabangsa melaporkan, rumah tiga wartawan turut musnah manakala, sekurang-kurangnya 40 pejabat media dikatakan menjadi sasaran serangan udara. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast