Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Kembara Sihat Hepili bersama Didi & Friends di IOI City Mall, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Pendidikan kesihatan perlu bermula sejak kanak-kanak sehingga remaja.

Ujar Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, kanak-kanak sehingga remaja memerlukan pendedahan yang lebih mengenai kepentingan kesihatan agar dapat memupuk cara kehidupan yang seimbang setiap hari. 

Sehubungan itu, katanya, Program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI Bersama Didi & Friends 2023 yang merupakan salah satu daripada Program Promosi Kesihatan di Institusi Pendidikan dianjurkan.

“Ini sebenarnya program untuk kita promosikan kesihatan nak beritahu masyarakat, pendidikan kesihatan seharusnya bermula daripada kanak-kanak.

“Hari ini kita bawa idola kanak-kanak untuk bersama-sama menjalankan aktiviti seperti ini supaya menarik minat mereka ajar dalam berseronok apa itu sihat, makanan sihat dan aktiviti sihat,” katanya selepas melancarkan program tersebut di sebuah pusat beli belah di sini hari ini.

Jelas Dr Zaliha, kerjasama dengan ikon yang diminati kanak-kanak membantu Kementerian Kesihatan (KKM)  memberi pengetahuan berkaitan kesihatan dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, program yang bertemakan ‘Tingkatkan Imuniti, Budayakan Hidup Sihat’ itu berpandukan lima objektif utama.

Elemen utama  objektif program berkenaan adalah aktif setiap hari; makan buah dan sayur; jauhi rokok dan vape; tingkatkan jati diri dan sentiasa bersih diri serta persekitaran.

Menurut Dr Zaliha, Kembara Sihat Sejahtera HePiLI Bersama Didi & Friends yang diadakan secara bersiri dengan pelbagai pengisian seperti majlis ramah mesra di pusat beli belah, di sekolah serta aktiviti trak Wellness on Wheel (WOW).

Ia meliputi Program Tunas Doktor Muda di Tabika KEMAS dan Prasekolah, Program IMFree di Sekolah Rendah, Program Doktor Muda Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, serta Program Siswa Sihat (PROSIS) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Dr Zaliha berkata, program tersebut dilaksanakan bersiri di setiap zon bermula di Putrajaya, di Zon Utara (Kedah), Zon Selatan (Johor), Zon Sarawak, Sabah dan Zon Pantai Timur (Kelantan).-MalaysiaGazette