Timbalan Presiden PEPIM, Ashraf Mokhtar bercakap kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor. Foto: NIZAM ZAIN

AMPANG – Persatuan Kebajikan Harapan Insan Miskin (PEPIM) tidak pernah menjalankan aktiviti mengutip derma mahu pun meminta sedekah daripada orang ramai di mana-mana kawasan.

Timbalan presidennya, Ashraf Mokhtar juga menafikan pertubuhan itu terlibat dengan mana-mana aktiviti penipuan bagi mengutip wang secara haram daripada orang ramai.

Sebaliknya PEPIM hanya melakukan jualan cenderahati untuk mengumpul dana bagi membiayai aktiviti kemasyarakatan termasuk memberi sumbangan kepada golongan asnaf.

Malangnya aktiviti jualan itu disalah anggap oleh segelintir pihak dan orang ramai yang menuduh para pegawai PEPIM mengutip sumbangan secara terbuka.

“Kita dapat banyak salah tanggap daripada pihak berkuasa di mana pegawai kita ditahan dan disoal siasat. Pegawai kita bila bergerak di luar, mereka sudah dibekalkan dengan kad pengenalan (kad kerja), surat pelantikan yang sah.

“Kita mohon pihak penguat kuasa membantu dan memudahcarakan perjalanan persatuan kami.

“Penahanan yang dibuat oleh pihak berkuasa sebelum ini kita mohon siasat dahulu dokumentasi yang dibekalkan kepada pegawai kita sebelum mengambil tindakan menahan di lokap,” katanya pada sidan media di pejabatnya di Ukay Perdana hari ini.

Timbalan Presiden PEPIM, Ashraf Mokhtar (tengah) menunjukkan kit jualan dan laporan polis pada sidang media di pejabatnya di Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor.
Foto: NIZAM ZAIN

Semalam, Ashraf membuat laporan di Balai Polis Melawati di sini susulan penahanan dua pegawai perhubungan awam PEPIM di Balai Polis Batu Pahat, sejak 30 Oktober lalu.

Kemudian beliau membuat satu laporan di balai sama susulan penahanan seorang lagi pegawai perhubungan awam PEPIM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sejak 23 Ogos lalu.

Ketiga-ketiga pegawai PEPIM itu ditahan polis kerana disyaki mengutip wang secara haram daripada orang ramai.

Beliau juga melahirkan rasa kesal apabila nombor akaun PEPIM disenaraihitamkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) kerana disyaki menjalankan aktiviti penipuan.

“Kami akan ke IPD Batu Pahat untuk mendapatkan penjelasan bagaimana nombor akaun bank PEPIM didaftarkan ke dalam laman web CCID pada 28 Oktober lalu seolah-olah nombor bank PEPIM ini scammer.

“Nombor akaun ini hampir empat tahun digunakan PEPIM dan tidak pernah terlibat menerima dana daripada aktiviti haram,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast