Sebahagian graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda dan diploma.

ARAU – Ilmuwan Hadis di Malaysia Dr Muhammad Asri Yusoff mendahului majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Hadis buat julung kalinya , Ijazah Sarjana Muda dan Diploma sempena Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Kali Ke-6 yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merangkap Tuanku Canselor KUIPs.

Di majlis ini seramai 275 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh, Perlis.

Jumlah ini membabitkan 265 graduan tempatan dan 10 graduan antarabangsa daripada tiga buah fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam serta Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.

Ilmuwan Hadis di Malaysia Dr Muhammad Asri Yusoff mendahului majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Hadis buat julung kalinya.

Dr Muhammad Asri menerima ijazah kehormat Doktor Falsafah ini atas sumbangan jasa dan kepakaran beliau dalam bidang hadis.

Manakala Waris Issara graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pula menerima Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) dan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Salsabila Shofia menerima Anugerah Rektor.

Waris Issara graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pula menerima Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula).

Anugerah lain yang turut disampaikan ialah Anugerah Khas Kokurikulum (Imtiyaz Khas), Anugerah Graduan Terbaik Kokurikulum (Mumtaz) serta Anugerah Graduan Terbaik Diploma.

Sehingga Oktober 2023, KUIPs mempunyai pelajar seramai 1,277 orang dari 15 buah negara dengan penawaran 26 program pengajian dari pelbagai bidang di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan JPT. – MalaysiaGazette