Dadah methaphetamine dan ketamin anggaran bernilai RM652,100 dirampas dari seorang penganggur di sebuah unit apartmen di Kuchai Lama. Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah di sekitar ibu negara semalam yang menjadikan unit rumah apartmen sebagai markas utama untuk kegiatan jenayah itu.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam memproses dadah jenis syabu dan ketamin menggunakan peralatan khas di dalam kediaman apartmen itu telah dicekup.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek seorang warga tempatan berusia 25 tahun,  ditahan oleh sepasukan polis dari
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields dalam satu operasi khas di Jalan Kuchai Maju 13, Taman Entrepreneurs di sini sekitar jam 5 petang.

“Pemeriksaan lanjut di dalam unit kediaman diduduki suspek berjaya merampas dadah disyaki jenis methamphetamine anggaran berat 8.160 kilogram dan ketamin anggaran berat 5.374 kg bernilai RM652,100,” katanya dalam kenyataan tengah hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati jumlah keseluruhan dadah yang dirampas daripada suspek terbabit boleh dibekalkan kepada 28,000 pengguna dadah di kawasan sekitar.

Menurut Amihizam, pemeriksaan susulan juga membantu polis menemui dan merampas beberapa peralatan khas yang digunakan oleh suspek untuk memproses dadah menjadikan dalam bentuk pil di dalam kediaman tersebut.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah tetapi semakan menunjukkan suspek memiliki satu rekod kesalahan jenayah lampau.

“Suspek kini direman selama lima hari bermula bermula hari ini sehingga 9 November ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields masih lagi menjalankan risikan serta siasatan lanjut bagi mengenal pasti saki baki ahli-ahli sindiket yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan, selain sumber bekalan yang diperoleh.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast