PKR Flag Anwar Ibrahim Prime Minister
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nama dan logo parti PKR sudah dikeluarkan daripada laman sesawang Liberal International, sebuah organisasi berdaftar yang berpangkalan di London.

Semakan terkini di laman sesawang organisasi itu mendapati, nama dan logo PKR yang sebelum ini tersenarai bersama beberapa parti atau pertubuhan lain bagi negara-negara Asia sudah tidak kelihatan.

Hanya tujuh parti atau pertubuhan membabitkan Asia masih berada dalam senarai di laman sesawang Liberal International itu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa, PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang turut dipercayai mempunyai kaitan menyokong Israel.

Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada 1947 dan menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.

Semalam, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil memaklumkan, beliau telah berhubung dengan pihak Liberal International untuk meminta nama dan logo parti itu dikeluarkan daripada laman sesawang organisasi berkenaan.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital itu, PKR tidak pernah menjadi ahli pertubuhan antarabangsa tersebut.

Tegasnya, PKR juga sedang meneliti langkah seterusnya berhubung tohmahan jahat yang dilemparkan terhadap parti tersebut.

Tambah beliau, berdasarkan maklum balas yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), lebih 200 kandungan berkaitan Liberal International dikaitkan dengan PKR. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast