Gambar Hiasan

AMPANG – Niat baik seorang remaja yang cuba meleraikan pergaduhan antara ibu bapanya semata-mata untuk melindungi ibunya daripada dicederakan gagal apabila dia dibelasah oleh bapa kandungnya di Kampung Pasir, Hulu Kelang semalam.

Pergaduhan dipercayai tercetus antara suspek dengan isterinya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa menggunakan motosikal milik ibunya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima laporan daripada seorang remaja berusia 15 tahun yang mendakwa diterajang oleh bapanya di bahagian perut.

Mangsa turut mendakwa suspek telah menarik rambut dan menampar mukanya dalam kejadian di rumah mereka yang terletak di Jalan Dato Abu Samah kira-kira 1.30 tengah hari.

Mohd Azam berkata, rentetan daripada kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian perut dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.

“Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama jam lebih kurang 3 petang, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas suspek seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam insiden jenayah itu bagi membantu siasatan polis.

“Suspek berumur 48, tahun dan bekerja sebagai pemotong rumput ditahan tepi jalan susur keluar Jejambat Lingkaran Tengah 2 (MRR 2),” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan juga mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan satu kes jenayah dan tujuh kes berkaitan kesalahan dadah.

Suspek kini direman selama empat hari sehingga 8 November ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes berkenaan telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 323Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan, sabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua- duanya sekali.

Suspek juga sedang disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu memasukkan dadah ke dalam badan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, ujarnya. – MalaysiaGazette