Mohd Iqbal
ACP Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Polis akan melanjutkan lagi tempoh reman seorang jurulatih seni mempertahankan diri bagi membantu siasatan  berhubung dakwaan mencabul seorang kanak-kanak di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tempoh reman tiga hari suspek, seorang pelajar kolej swasta berusia 20 tahun akan tamat esok.

“Memandangkan tempoh reman ke atas suspek akan tamat esok (Isnin), kita (polis) akan sambung reman ke atas individu ini,” katanya lagi ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya, setakat ini empat kertas siasatan telah dibuka dan polis sudah selesai  merakam keterangan daripada ibu bapa mangsa.

“Soal berkaitan berapa ramai saksi itu (dipanggil bantu siasatan) masih dalam siasatan kami,” ujarnya.

Siasatan dibuat bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dalam satu kenyataan semalam, Mohd Iqbal mengesahkan pihaknya pada 2 November lalu pada jam lebih kurang 1.53 petang telah menerima laporan daripada ibu kepada mangsa berusia sembilan tahun mengenai insiden tersebut.

Suspek kemudian ditahan di sebuah pusat membeli belah berhampiran kawasan itu sekitar jam 4 petang – dua jam selepas laporan polis diterima daripada pengadu.

Katanya, suspek yang berpengalaman lebih setahun mengajar kelas seni mempertahankan diri itu disyaki melakukan perbuatan itu semasa mangsa berada di dalam tandas di pusat mempertahankan diri tersebut.

Siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa adalah kanak-kanak perempuan yang berumur lingkungan diantara 7 hingga 9 tahun yang  belajar seni mempertahankan diri daripada suspek.

Kejadian dikatakan berlaku sekitar bulan September hingga Oktober tahun 2023.- MalaysiaGazette