Pengerusi Federal Power Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Noorha Wisma Hisham Abdul Wahab bercakap pada sidang media di Jenjarom, Banting, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

BANTING – Federal Power Holdings Sdn Bhd memberi jaminan bateri panel solar yang bakal dihasilkan syarikat tempatan itu tidak akan mengancam kesihatan dan keselamatan penduduk Kampung Jenjarom, di sini.

Pengerusinya, Datuk Seri Noorha Wisma Hisham Abdul Wahab berkata, ini kerana penghasilan bateri itu tidak melibatkan sebarang proses pembuangan sisa mahupun bahan kimia berbahaya khususnya plumbum.

Beliau berkata, sebaliknya penghasilan bateri daripada kilang yang terletak di kawasan perindustrian Jenjarom itu mematuhi polisi pelepasan sifar yang telah ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan pihak berkuasa tempatan.

“Kita ambil dari luar negara, kita bawa masuk kilang kita, kita pasang di kilang secara separuh siap, kemudian akan dibungkus dengan jenama kita, sebelum dijual.

“Kita tiada kena mengena dengan pengeluaran bateri lori yang diusahakan pemilik kilang sebelum ini. Kilang kita Zero Discharge, tidak ada sebarang asid keluar daripada bateri itu.

“Kita bagi jaminan 100 peratus tiada pembuangan sisa kimia,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pengerusi Federal Power Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Noorha Wisma Hisham Abd Wahab menunjukkan laporan polis terhadap pentadbir laman Facebook Jenjarom Community di luar pekarangan Balai Polis Sungai Jarum, Jenjarom, Banting, hari ini.
Foto: NIZAM ZAIN

Terdahulu beliau membuat laporan polis terhadap pentadbir akaun laman Facebook Jenjarom Community kerana memuat naik artikel berbaur fitnah kepada dirinya.

Hisham berkata, artikel yang dimuat naik pada 6 Januari 2021 itu bertujuan untuk memalu dan mengaibkannya, sekali gus mengancam kredibiliti sebagai seorang ahli perniagaan.

Dalam pada itu, Hisham juga menafikan dakwaan kononnya operasi kilang bateri panel solar miliknya itu mempunyai kaitan dengan pemilik asal

Kita tidak membuat kerja-kerja yang diuar-uarkan dulu, macam plumbum kita tak buat, memang kita tiada kena-mengena dalam industri terdahulu yang menyalahi undang-undang hingga menyebabkan pencemaran.

“Kita adalah syarikat baharu yang membuat bateri solar, kita buat pembungkusan sahaja, bukan memproses, tak sama langsung dari segi apa yang diuar-uarkan selama ini,” katanya.

Katanya, pihaknya memberi jaminan akan mematuhi arahan dan undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa apabila kilang itu dibenarkan beroperasi dalam masa terdekat.

“Sebagai syarikat Bumiputera yang pertama, Federal Power akan mematuhi segala apa juga arahan daripada kerajaan terutama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan JAS Selangor yang telah memberi kita mandat dan kebenaran untuk kita beroperasi.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan cuba membuat apa yang terbaik seperti yang diberi kebenaran di dalam surat setuju terima JAS untuk kita patuhi,” katanya. – MalaysiaGazette