KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) mencatatkan 115.4 mata pada suku tahun ketiga 2023, peningkatan 1.4 peratus berbanding 113.8 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, semua subsektor merekodkan peningkatan pada suku ini kecuali indeks maklumat & komunikasi yang kekal tidak berubah.

Penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman meningkat 4.6 peratus (ST2 2023: 6.3%) disebabkan oleh peningkatan dalam restoran & aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (5.2%) dan pengangkutan merekodkan peningkatan marginal 0.7 peratus (ST2 2023: 4.8%) disebabkan oleh pengangkutan udara (1.5%).

Pada masa yang sama, subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah pendidikan (1.0%), kesenian, hiburan & rekreasi (0.8%) dan profesional (0.4%).

Sementara itu, indeks aktiviti hartanah dan kesihatan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus.

Beliau mengulas lanjut, perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan IHPRP meningkat 0.4 peratus berbanding 0.2 peratus yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya.

Ini disebabkan oleh kenaikan terutamanya dalam indeks kesenian, hiburan & rekreasi (3.0%), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (0.9%), pendidikan (0.3%) dan aktiviti hartanah (0.2%).

Manakala indeks pengangkutan, profesional, kesihatan dan maklumat & komunikasi kekal tidak berubah. – MalaysiaGazette