Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Prosiding saman oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan bermula pada Oktober 2024.

Perbicaraan itu dijangka berjalan empat hari bermula 17 Oktober 2024 akan membicarakan dakwaan Tun Mahathir yang Ahmad Zahid menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi beliau untuk mencampuri urusan perbica­raan kes jenayah membabitkan Yayasan Akalbudi sebelum ini.

Tarikh itu ditetapkan pada prosiding pengurusan kes hari ini oleh Timbalan Pendaftar, Afidah Idris.

Menurut peguam yang mewakili Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi, satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 12 Januari tahun depan.

Ahmad Zahid sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Tun Mahathir pada 20 April 2022 atas dakwaan beliau difitnah pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (Pejuang) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.

Dakwa Ahmad Zahid, Dr Mahathir memfitnah beliau pernah hadir di rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.

Hujah Ahmad Zahid, ia juga bermaksud beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr. Mahathir bagi mencampuri urusan perbi­caraan jenayah dan siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast