File picture

KUALA LUMPUR – Kadar sara diri (SSR) beras negara dipertingkat kepada 75 peratus menjelang 2025 manakala 80 peratus menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kerajaan optimis sasaran tersebut dapat dicapai menerusi inisiatif SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan projek rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

“Bagi menambah baik SSR dan meningkatkan keterjaminan makanan, KPKM memfokuskan kepada komoditi tanaman dan ternakan terhadap perkara berkenaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Barisan Nasional) meminta kementerian berkenaan menyatakan jenis tanaman serta ternakan yang sedang diberikan tumpuan bagi menambah baik Tahap Sara Diri (SSL) agar dapat meningkatkan keterjaminan dan mengurangkan kebergantungan import makanan.

Mengulas lanjut, Chan berkata, KPKM turut mensasarkan penambahan 20 juta liter susu segar iaitu SSR 100 peratus menjelang 2025.

“Meningkatkan jumlah bilangan ternakan ruminan bagi penghasilan daging lembu/kerbau ke tahap SSR 50 peratus (111,000 tan metrik) dan SSR 30% bagi daging kambing/bebiri (14,200 tan metrik) dalam tempoh lima tahun (2021-2025) melalui Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF Plan) 2021-2025,” tambahnya.

Selain itu katanya, kementerian berkenaan menyasarkan SSR buah-buahan dan sayur-sayuran masing-masing sebanyak 83 dan 79 peratus menjelang 2030.

Terdahulu beliau berkata SSR atau kadar sara diri merupakan pengukuran terhadap kemampuan sesebuah negara untuk memenuhi keperluan domestik melalui pengeluaran tempatan.

Ujarnya lagi, sebanyak lapan komoditi makanan utama yang dipantau KPKM iaitu beras, sayur, buah, daging ayam/itik, telur ayam/itik, daging lembu, susu segar dan ikan makanan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast