Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melakukan gimik pelancaran dengan menyarungkan jaket keselamatan kepada sukarelawan MESCA Kementerian Pelajaran Malaysia, Nurhasni Noor pada majlis Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Harun (2), Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 06 NOVEMBER 2023.

PETALING JAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap akan dilaksanakan bulan depan termasuk di kawasan yang dilanda bencana banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah membuat persiapan yang teliti bagi memastikan peperiksaan membabitkan pelajar Tingkatan 5 di seluruh negara berjalan seperti dijadualkan.

“Kita bersedia. SPM akan bermula 5 Disember ini dan kesiapsediaan (banjir) termasuk menghadapi peperiksaan ini.

“Kita percepatkan SPM sebab kita mahu ‘pergi’ kepada Januari seperti yang diminta oleh banyak pihak.

“Kita tengah susun dan insya-Allah ianya akan teratur dan mengikut garis masa yang kita tetapkan untuk sampai semula kepada Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Datuk Harun 2, di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bergambar bersama pelajar pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Harun (2), Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 06 NOVEMBER 2023.

Menurut Fadhlina, sejumlah 5,063 buah sekolah telah diwartakan sebagai pusat pemindahan banjir (PPS) bagi menghadapi bencana tersebut yang diramalkan berlaku ketika ketibaan Monsun Timur Laut.

Fadhlina menjelaskan, murid-murid di kawasan terjejas banjir akan menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

Sementara itu, menurut beliau, sejumlah RM15.5 juta diperuntukan bagi melaksanakan penyelengaraan akibat bencana banjir berdasarkan bajet yang diluluskan.

Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 sebagai optik keprihatinan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap keselamatan dan kebajikan warga dan institusi pendidikan semasa menghadapi bencana banjir.

Persiapan termasuk melatih pasukan sukarelawan melibatkan pelbagai peringkat temasuk guru dan seluruh warga KPM yang berdaftar sebagai ahli Persatuan Sukan dan Kebudayaan KPM (MESCA), Guru Insani Malaysia (GIM), pelajar Institut Pendidikan Guru dan pelajar Tingkatan 6 (sukarelawan MADANI).

Pihaknya juga menyediakan kit sukarelawan untuk menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan pasca banjir terutama aktiviti pembersihan institusi pendidikan yang terkesan dan menyediakan kit sumbangan kepada warga KPM yang terkesan banjir.

Kementerian turut menyediakan perkhidmatan kaunseling oleh kaunselor pendidikan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu murid dan guru mangsa banjir dan pembelajaran berasaskan fun learning kepada murid.

KPM juga membekalkan kerusi dan meja plastik ke sekolah-sekolah yang berisiko banjir dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

Pihaknya juga telah menubuhkan Jawatankuasa Task Force Bencana Banjir Monsun Timur Laut Peringkat KPM khusus bagi membincangkan tindakan berkaitan bencana banjir.

Fadhlina berkata, Bilik Gerakan Bencana juga telah diaktifkan untuk melaporkan status institusi pendidikan banjir, PPS institusi pendidikan yang dibuka dan bilangan mangsa warga KPM yang ditempatkan di PPS.

Katanya, persiapan KPM melibatkan agensi pengurus bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MET Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pihaknya telah mengeluarkan surat peringatan Berhubung Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir di Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 10 Oktober lalu. -MalaysiaGazette