Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Ahmad Marzuk Shaary (Pengkalan Chepa- PN) diarahkan keluar Dewan Rakyat selepas nekad untuk tidak menarik balik kenyataannya mengaitkan hantaran di Facebook Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan Islamophobia.

Terdahulu Marzuk meminta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sama ada pihaknya setuju supaya penerangan tentang Islam dilakukan dalam kalangan jemaah Menteri bagi mengelak Islamophobia.

“Kekeliruan terhadap Islamophobia ini disebabab salah anggap dan tak faham bukan sahaja masyarakat di luar sana bahkah sampai di kalangan menteri menteri contohnya Teluk Intan ( Kor Ming) berapa kali buat posting dulu sebut Taliban dan sebagainya dan ada beberapa lagi adakah YB menteri berusaha beri kefahaman dalam kalangan menteri Kabinet dulu,” katanya ketika mencelah ucapan penggulungan menteri.

Sebelum itu, Mohd Na’im menjelaskan, isu larangan doa Qunut Nazilah dan takbir di sekolah sempena solidariti Palestin yang menjadi isu ketika ini.

Jelas beliau, ia bukan disebabkan Islamophobia sebaliknya berpunca daripada salah faham yang memerlukan usaha memberi penjelasan disebar luaskan.

Howard Lee (Ipoh Timur – PH) kemudian bangun dan meminta wakil rakyat Pas itu menarik balik kenyataannya sehingga sehingga mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

“Ini tuduhan berniat jahat, tarik balik,” katanya.

Bagaimanapun, Marzuk kemudian menafikan beliau menghina menteri dengan mengaitkan Islamaphobia.

Sebaliknya, beliau merujuk hantaran hantaran Pengerusi DAP Perak itu Pada 28 Oktober lalu yang telah memuat naik hantaran di media sosial berkenaan tindakan terhadap kebenaran penggunaan senjata dan pemakaian dalam Program Solidariti Palestin.

“Saya merujuk satu posting Facebook daripada Nga Kor Ming apbila dia menyebut sekolah bukan tempat konflik fahaman ekstremis dan fahaman keganasan, ini salah faham, gambar yang ditujuk itu pakaian pejuang Palestin yang berjuang menuntut kemerdekaannya,” kata Marzuk.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kemudiannya meminta Marzuk menarik balik kenyataannya sebelum mengarahkannya keluar dari Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Takbir, Qunut Nazilah di sekolah: MP Parit Buntar, Hulu Langat kena keluar dewan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast