Polis siasat insiden pemandu Mazda berusia 33 tahun maut selepas keretanya melanggar dibelakang sebuah lori penyelenggara jalan di Kilometer 436.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran Rawang dalam kejadian pagi tadi.Ihsan Bomba Selangor

GOMBAK – Polis menyiasat kes kemalangan yang mengakibatkan seorang lelaki maut tersepit selepas kereta jenis Mazda 3 yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori penyelenggaran jalan di Kilometer 436.8, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Rawang hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pemandu lori yang berada di lokasi turut tercedera ringan dalam kejadian tersebut.

Polis telah menerima panggilan awam memaklumkan mengenai kemalangan maut itu pukul 10.14 pagi dan hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki warga emas tempatan berusia 60 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Rawang menuju ke Sungai Buaya.

“Selepas tiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba lori yang berada di lorong kanan telah dirempuh di belakang oleh sebuah kereta dipandu lelaki warga tempatan berusia 33 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Ariffin, akibat perlanggaran, pemandu kereta parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dalam insiden ini pemandu lori berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

Polis membuka kertas siasatan berkaitan insiden ini dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-675 1727 atau IPD Gombak di talian 03-612 62222. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Satu maut, lima cedera kemalangan kereta rempuh lori