Seramai 23 kakitangan PLUMS jayakan CSR.

KOTA KINABALU – Seramai 23 kakitangan Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) baru-baru ini menjayakan program khidmat masyarakat (CSR) di Kampung Sayap, Kota Belud.

Pengarah PLUMS, Dr. Lim Thien Sang berkata, program itu antara lain bertujuan bagi mengenali dengan lebih dekat komuniti suku kaum Dusun Tindal yang berada di perkampungan tersebut.

Tambah beliau, melalui CSR itu juga, PLUMS dapat membantu memperkenalkan aktiviti kebudayaan yang ditonjolkan oleh suku kaum Dusun Tindal seperti menganyam gelang manik, tampi padi dan tarian tradisional yang dikenali sebagai Tarian Siri-Siri.

“Kami berbesar hati kerana kedatangan kami disambut mesra oleh penduduk dan mereka sudi menyantuni kami dengan berkongsi hasil bumi dan buah-buahan tempatan yang terdapat di sini.

“PLUMS berharap agar Kampung Sayap ini akan menjadi salah satu pusat pelancongan yang penting di Sabah dengan keindahan semula jadi yang dapat membantu membangunkan sosioekonomi penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

CSR tersebut membawa sumbangan bakul makanan yang diagihkan kepada 60 penerima bersasar yang terdiri daripada ahli keluarga orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

Sementara itu, Ketua Program CSR PLUMS, Wong Ken Hong berkata, penganjuran tersebut telah memupuk sikap peka dan ambil berat dalam kalangan warga PLUMS terhadap isu-isu masyarakat.

PLUMS merupakan salah satu jabatan di UMS yang bertanggungjawab melaksanakan program-program baharu seperti Prasiswazah dan Pascasiswazah hujung minggu, Saluran Terbuka UMS (SATUMS), Pembelajaran Pengakreditan Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), Muet on Demand (MOD) serta Diploma Kejururawatan. – MalaysiaGazette