KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengklasifikasikan tiga buah sungai di tiga negeri kini berada di paras bahaya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga sungai berkenaan adalah Sungai Pontian Besar Kulai, Johor Bahru; Sungai Perak Hilir, Perak dan Sungai Langat, Hulu Langat, Selangor.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, seramai 881 orang mangsa kini ditempatkan di 12 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Sehingga jam 12.00 tengah hari (06 November 2023) bilangan negeri yang terkesan banjir kekal di tiga buah negeri dimana enam daerah iaitu di negeri Perak, Selangor, dan Pahang masih terjejas.
“Seramai 881 orang mangsa daripada 237 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan sedang berada di 12 buah PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selangor mencatatkan mangsa banjir tertinggi dengan 575 orang, Perak dengan 219 mangsa dan Pahang dengan 87 orang mangsa.
Dalam pada itu, orang ramai terutamanya yang berada di kawasan berisiko banjir, agar mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, saranan itu diberikan bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda.
“Saya juga menyarankan agar penduduk yang berada kawasan yang mudah terkesan banjir untuk merujuk maklumat terkini dari sumber yang sahih. Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.
“Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid berkata, pada jam 7.30 pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan ramalan Cuaca Signifikan bagi tempoh 6 hingga 8 November ini.
Berdasarkan analisis model cuaca tersebut, ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang dijangka akan berlaku di kebanyakkan tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutamanya pada sebelah petang hingga malam sepanjang tempoh ramalan. – MalaysiaGazette