KUALA LUMPUR – Berita gembira buat penyokong Harimau Malaya yang boleh mendapatkan tiket pada harga serendah RM5 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 membabitkan Malaysia dan Kyrgyzstan.
Harga itu ditetapkan bagi kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun manakala harga tiket perlawanan ditetapkan pada harga RM40 bagi Kategori Terbuka untuk perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Sementara tiket RM60 ditetapkan bagi Kategori Grandstand dan tiket berharga RM80 pula bagi Kategori Premium.
Penetapan harga tiket perlawanan ini untuk Kategori Terbuka sedikit berbeza dengan tiketkategori sama yang dijual untuk Aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 iaitu RM30.
Ini disebabkan taraf perlawanan Malaysia-Kyrgyzstan ialah perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Sementara itu, sebanyak RM1 dari setiap tiket yang dijual akan disalurkan ke Tabung Selamatkan Harimau Malaya dan sebagai tanda prihatin dan sokongan kepada perjuangan Palestin, RM2 daripada setiap jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Khas Palestin.
Malaysia memulakan kempen Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini di SNBJ. – MalaysiaGazette