KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2023-2025 sempena Hari Integriti Nasional 2023.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pelancaran OACP menunjukkan komitmen Bank Muamalat untuk memerangi rasuah dan memupuk tadbir urus yang baik, selaras dengan keperluan yang dinyatakan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
Tambahnya, OACP dihasilkan dengan misi untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti serta meningkatkan tahap integriti dan etika bank tersebut.
Katanya, ia merupakan elemen utama ke arah mengubah bank tersebut menjadi bank Islam terbaik di Malaysia yang boleh dipercayai pelanggan.
“OACP Bank Muamalat merupakan komponen asas dalam agenda integriti kami yang lebih luas, bertujuan untuk mewujudkan budaya bercirikantahap integriti dan profesionalisme yang tinggi untuk produk dan perkhidmatan proses penyampaian kami,” katanya menerusi, kenyataan, hari ini.
Menurut Khairul, bank itu juga mengenal pasti sembilan objektif strategik, termasuk kawalan dalaman yang kukuh, peningkatan akauntabiliti dan penumpuan yang kukuh untuk mengurangkan risiko rasuah. – MalaysiaGazette