Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang mahu memboikot mana-mana syarikat didakwa mempunyai kaitan dengan Israel perlu berdasarkan bukti yang jelas dan meyakinkan, bukan sekadar sangkaan atau andaian.

Ini kerana, pada saat banyak pihak bersolidariti menghukum syarikat pro-Israel, orang ramai perlu berhati-hati untuk tidak menganiaya mereka yang tidak bersalah, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

“Dalam membela pihak yang teraniaya, jangan pula sampai menganiaya pihak yang lain.

“Semalam, dilaporkan nasib yang terpaksa dihadapi kira-kira 21,000 pekerja McDonald’s Malaysia susulan kempen boikot dan dilabel sebagai pendukung Yahudi dan menerima pelbagai cemuhan serta cacian masyarakat.

“McDonald’s Malaysia telah menjelaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam penyaluran dana kepada Israel dan syarikat berkenaan juga mengeluarkan zakat menerusi pejabat urus zakat di beberapa negeri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati agar pekerja-pekerja yang mana syarikat mereka terlibat secara langsung dengan penyaluran dana kepada Israel untuk mencari pekerjaan lain di Malaysia agar hasil pekerjaan yang diterima diberkati.

Pada masa yang sama, kata beliau, ini merupakan masa terbaik untuk mempromosikan barangan buatan tempatan.

Terdahulu, Shahir yang juga Pengerusi Ikatan Kelantan berkata, memboikot ekonomi Israel harus dibuat secara konsisten dan bukan hanya semangat yang bermusim agar ia menjadi isyarat menentang kebiadapan zionis terhadap umat Islam.

Ujarnya, kempen boikot yang dilakukan ke atas produk-produk Israel memberi kesan ekonomi kepada Israel dan ia adalah tekanan yang dilakukan terhadap kerajaan itu yang mengamalkan keganasan terhadap Palestin.

“Israel adalah sebuah negara haram yang tidak diiktiraf oleh dunia termasuklah Malaysia sendiri. Mereka merampas tanah rakyat Palestin sejak tahun 1948 dengan dakwaan bahawa mereka penduduk asal tanah Palestin.

“Tidak hanya merampas, tentera Israel menyerang dan membunuh jutaan nyawa rakyat Palestin sehingga hari ini atas nama perjuangan hak meskipun mendapat kecaman hebat daripada masyarakat dunia khususnya dunia Islam termasuk Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast