KUALA LUMPUR – Seorang individu berpengaruh didakwa menjadi dalang kepada tiga individu yang menjadi mangsa kepada satu sindiket pelaburan sejak tahun 2007.
“Beliau bersama seorang rakan perniagaannya bergelar Tan Sri yang didakwa berpengaruh dalam pihak berkuasa turut menipu pegawai-pegawai kerajaan, golongan profesional seperti doktor, pelabur antarabangsa dan rakyat marhaen.
“Setakat ini rantaian penipuan mereka mencecah hampir RM1 bilion termasuk pelaburan yang dibuat oleh seorang usahawan dari United Kingdom (UK), Lee Rodger Meiklejohn, berjumlah hampir RM60 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada sidang media, di sini, hari ini.
Turut hadir Meiklejohn yang ditipu individu berkenaan pada 2010 ketika bertemu di Glasgow, Scotland.
Mengulas lanjut, Shah berkata, dia diperkenalkan melalui seorang rakannya yang bekerja bersama lelaki itu ketika perkenalannya dengan suspek pada 2007 di sebuah restoran di Taman Seputeh, di sini.
“Selepas tertarik dengan bentuk pelaburan yang ditawarkan, dia kemudian membuat pelaburan sebelum dilantik sebagai penasihat di syarikat pinjaman wang dan tidak mencampuri urusan operasi harian, sebaliknya lebih tertumpu kepada berurusan dengan para pelabur, pihak luar, urusan kerajaan dan politik.
“Saya juga telah membawa masuk ramai pelabur termasuk ahli keluarga saya untuk melabur dalam syarikat-syarikat miliknya.
“Namun selepas beberapa tahun saya mendapati dia membuat banyak penipuan terhadap peminjam, terhadap kerajaan dan pelabur-pelabur sebelum saya meminta kembali segala wang pelaburan saya serta wang pelabur yang saya bawa,” katanya.
Sementara itu, Meiklejohn, 55, berkata, dia menjadi mangsa penipuan suspek di antara Oktober 2010 hingga April 2011 dengan pelaburan 10 juta GBP bersamaan (RM60 juta) selepas diperkenalkan oleh seorang broker di Edinburgh, UK pada Ogos 2010.
“Ketika cuba meyakinkan untuk membuat pelaburan, suspek menggalakkan saya melabur dalam syarikat Redeemable Convertible Cumulative Preference Shares (RCCPS) dengan menggunakan beberapa maklumat yang kemudiannya diketahui palsu dan representasi palsu.
“Antaranya adalah menyatakan seorang bilionaire di negara ini melabur berjuta-juta dalam syarikat berkenaan sebelum saya menyedari maklumat itu palsu pada tahun 2017,” katanya.
Susulan kejadian itu, mereka mendesak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, untuk memastikan siasatan dan tindakan diambil terhadap kegiatan penipuan lelaki itu.
Mangsa boleh berhubung dengan Pengerusi Sekretariat MAPER ditalian 014-221 4433 atau emel di alamat [email protected]. – MalaysiaGazette