KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian menurun 0.5 peratus pada September 2023 berbanding setahun lalu, manakala bagi perbandingan bulanan berkembang dua bulan berturut-turut.

Ketua Perangkaan berkata, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut dipengaruhi terutamanya oleh kejatuhan 5.2 peratus dalam sektor perlombongan.

Sebaliknya, sektor pembuatan kembali kepada pertumbuhan marginal 0.4 peratus (Ogos 2023: -0.6%) selepas mengalami trend penurunan selama tiga bulan berturut-turut.

Sementara itu, sektor elektrik meningkat 2.5 peratus berbanding 1.9 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2023.

Namun begitu, bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP menunjukkan pengembangan berterusan dengan pertumbuhan 1.1 peratus, selepas mencatatkan 2.8 peratus pada Ogos 2023.

“Pengembangan dalam pengeluaran Pembuatan didorong terutamanya oleh prestasi kukuh industri berorientasikan domestik yang berkembang 5.9 peratus pada September 2023 (Ogos 2023: 4.2%).

“Kenaikan ini diterajui oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan (9.6%); pembuatan produk prosesan makanan (8.2%); dan pembuatan
produk galian bukan logam lain (8.0%),” katanya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, industri berorientasikan eksport yang menyumbang lebih kurang dua pertiga daripada pengeluaran pembuatan kekal pada trend menurun, meskipun pertumbuhan negatif yang lebih kecil 2.0 peratus pada September 2023 berbanding penurunan 2.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Penyusutan ini disebabkan terutamanya oleh pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-7.7%); pembuatan jentera & peralatan t.t.t.l. (-4.9%); dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-1.9%).

Trend ini selari dengan prestasi eksport negara yang menyusut 13.7 peratus pada September 2023, namun bertambah baik daripada negatif 18.7 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2023.

Berbanding bulan sebelumnya, pengeluaran industri berorientasikan domestik dan industri berorientasikan eksporttumbuh masing-masing sebanyak 4.4 peratus dan 1.1 peratus.

“Pengeluaran sektor perlombongan merosot 5.2 peratus pada September 2023 berbanding positif 0.1 peratus yang direkodkan pada Ogos 2023. Trend penurunan tersebut dipengaruhi oleh pengeluaran gas asli yang kembali kepada jajaran negatif dengan penurunan 7.8 peratus berbanding kenaikan 2.6 peratus pada Ogos 2023.

Tambahan pula, pengeluaran minyak mentah & kondensat terus berada dalam trend menurun merekodkan negatif 1.4 peratus pada September 2023 (Ogos 2023: -3.3%).

Perbandingan dengan bulan sebelumnya, indeks perlombongan jatuh 1.6 peratus berbanding negatif 5.4 peratus yang direkodkan pada Ogos 2023,” ujar beliau.

Sementara itu, pengeluaran elektrik terus meningkat 2.5 peratus pada September 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan 1.9 peratus pada bulan lalu.

Perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik merosot 4.0 peratus berbanding pertumbuhan positif 0.3 peratus yang direkodkan pada Ogos 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast