Jamie Ling

KUALA LUMPUR – AMMB Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Ling Fou-Tsong @ Jamie Ling sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif AmBank (M) Berhad, menggantikan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkuat kuasa pada 23
November 2023.

Seorang akauntan bertauliah, Jamie, warganegara Malaysia berumur 55 tahun, mempunyai pengalaman serta rekod prestasi perkhidmatan yang
terbukti.

Jamie mula berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan sejak dari 2017, yang mana beliau menguruskan spektrum penuh kewangan Kumpulan AmBank, menyelia strategi dan pelaksanaan kewangan kumpulan.

Pengalaman komersil serta kewangan Jamie yang mendalam merangkumi peranan penting yang dipegang dalam perbendaharaan, kewangan, pengurusan risiko dan jualan bersama institusi perbankan antarabangsa.

Portfolio kerjayanya yang komprehensif merentasi perbankan korporat, pelaburan dan peruncitan, perbendaharaan, pengurusan risiko dan pengurusan kewangan.

Sepanjang 17 tahun, Jamie telah memegang peranan kepimpinan di Malaysia, United Kingdom dan Asia Timur Laut.

Jamie merupakan Ketua Pegawai Kewangan Serantau Standard Chartered Bank untuk Greater China dan Asia Timur Laut, meliputi Hong Kong, Taiwan, China, Korea
Selatan dan Jepun.

Beliau juga merupakan ahli lembaga Standard Chartered (Hong Kong) Limited dan Hong Kong Note Printing Limited. – MalaysiaGazette