KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Malaysia menetapkan sasaran indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Kebangsaan dan memuktamadkan sembilan inisiatif bagi mempercepat pencapaian SDG di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sasaran indikator SDG kebangsaan dan inisiatif itu akan diterjemah dalam Pelan Hala Tuju SDG Fasa 2 yang diterbitkan pada Disember ini.
Anwar berkata ia antara perkara yang dimuktamad dalam Mesyuarat Majlis SDG Negara bagi 2023 yang dipengerusikan oleh beliau hari ini bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) yang hanya berbaki kira-kira tujuh tahun.
“(Selain itu) menambah baik struktur tadbir urus SDG Kebangsaan selari dengan fungsi semasa kementerian-kementerian serta memperkasa peranan kementerian-kementerian di peringkat Persekutuan sebagai kementerian peneraju bagi setiap matlamat SDG,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kementerian peneraju bertanggungjawab melaksanakan gerak kerja bagi memastikan setiap sasaran SDG dapat dicapai dalam tempoh ditetapkan.
Perdana Menteri juga berkata secara keseluruhannya, prestasi SDG Malaysia masih mencatatkan kemajuan yang positif walaupun berdepan cabaran dan situasi semasa di peringkat global serta tempatan seperti kesan pascapandemik COVID-19, cabaran perubahan iklim dunia, krisis inflasi dan kemelut geopolitik antarabangsa.
Anwar memaklumkan antara pencapaian negara ialah penurunan peratusan di bawah garis kemiskinan daripada 8.4 peratus pada 2020 kepada 6.2 peratus pada 2022 iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan).
Menerusi SDG 8 (Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi), kadar pengangguran berkurangan daripada 4.6 peratus pada 2021 kepada 3.4 peratus pada Ogos 2023.
Bagi SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat) pula, penggunaan Internet individu meningkat daripada 81.2 peratus pada 2018 kepada 97.4 peratus pada 2022.
Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa komited untuk mencapai Agenda 2030 dan akan terus memperkukuh tindakan bagi mencapai 17 SDG.
Beliau berkata justeru, komitmen semua termasuk Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan lain adalah penting untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara mampan menjelang 2030.- BERNAMA