QATAR – Seorang pemimpin kanan Hamas menafikan kumpulannya membunuh orang awam di Israel, dengan mendakwa hanya tentera yang menjadi sasaran.
Moussa Abu Marzouk memberitahu BBC, wanita, kanak-kanak dan orang awam dikecualikan daripada serangan Hamas.
Sebelum ini Israel mendakwa lebih 1,400 orang terbunuh oleh Hamas dalam serangan 7 Oktober lalu, kebanyakannya orang awam.
Marzouk merupakan timbalan pemimpin politik kumpulan itu, yang tertakluk kepada pembekuan aset di United Kingdom di bawah peraturan memerangi keganasan, telah ditemu bual pada hari Sabtu lalu di Teluk.
Wawancara pada hari Sabtu itu dibuat selepas Israel menolak permintaan Amerika Syarikat untuk menghentikan serangan bagi kemasukan bantuan kemanusiaan di Gaza dan membantu mengeluarkan sebahagian daripada 240 tebusan yang diambil oleh Hamas pada 7 Oktober.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada hari Jumaat berkata, semua tebusan mesti dibebaskan sebelum sebarang gencatan senjata sementara boleh dipersetujui.
Beliau adalah individu paling kanan yang bercakap dengan BBC sejak serangan 7 Oktober.
Ditanya mengenai jumlah tebusan yang ditahan di dalam wilayah itu, Marzouk berkata, mereka yang ditahan tidak dapat dibebaskan semasa Israel mengebom Gaza.
Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata, 10,000 orang telah terbunuh sejak Israel memulakan operasi bulan lalu.
“Kami akan membebaskan mereka. Tetapi kami perlu menghentikan pertempuran,” katanya.
Marzouk baru-baru ini pergi ke Moscow untuk membincangkan mengenai lapan tebusan yang mempunyai dua kewarganegaraan Rusia-Israel yang ditahan Hamas pada 7 Oktober.
Beliau berkata, anggota Hamas di Gaza telah “mencari dan menemui dua tebusan wanita” dari Rusia tetapi tidak dapat membebaskan mereka kerana konflik.
Mereka hanya boleh membebaskan tebusan secara realistik, katanya, jika “Israel menghentikan pertempuran supaya kita boleh menyerahkan mereka kepada Palang Merah”.
Dicabar oleh BBC mengenai serangan 7 Oktober, Marzouk mendakwa Mohamed el-Deif, ketua sayap tentera Briged Qassam Hamas, telah mengarahkan orang-orangnya menyelamatkan orang awam.
“El-Deif dengan jelas memberitahu pejuangnya ‘jangan bunuh seorang wanita, jangan bunuh kanak-kanak dan jangan bunuh orang tua’,” katanya.
Hanya askar simpanan, katanya, “disasarkan”.
Beliau juga menegaskan hanya “anggota tentera atau askar” terbunuh.
Tetapi wanita, kanak-kanak dan orang awam “dikecualikan”, katanya.
Ketika ditanya sama ada sayap politik Hamas mengetahui persiapan untuk serangan itu, timbalan ketua itu berkata, pejuang kumpulan itu “tidak perlu berunding dengan kepimpinan politik. Tidak perlu.”
Sayap politik itu, yang berpangkalan di Qatar, sering menunjukkan dirinya sebagai jauh dari pasukan tentera di Gaza. – Agensi