Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin

KUANTAN – Penduduk di kawasan yang berisiko banjir di negara ini dinasihati bersiap sedia untuk berpindah daripada kediaman masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, ia selari dengan pengumuman MET Malaysia yang Monsun Timur Laut (MTL) akan bermula 11 November ini.

Beliau juga mengingatkan penduduk di kawasan yang terdedah risiko banjir agar tidak menangguhkan perpindahan sekiranya telah diarah berbuat demikian.

“Risiko bahayanya sekiranya mereka ini tidak berpindah awal sebab keadaan cuaca, taburan hujan ini kita tidak boleh tentukan.

“Paling membimbangkan apabila hujan ini berlaku dan banjir pada waktu malam kerana pada waktu itu operasi penyelamatan amat sukar dan juga menimbulkan bahaya kerana kita tidak nampak dalam jarak tertentu,”katanya.

Selain itu, kata Abdul Wahab, golongan kanak-kanak, ibu mengandung serta mereka yang dalam keadaan kurang sihat turut disarankan agar  berpindah awal sekiranya diarahkan pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat JBPM Pahang hari ini.

Sebelum itu, Abdul Wahab  turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 kepada 77 pegawai dan anggota, Pemakaian Pangkat kepada 56 pegawai dan anggota pelbagai gred serta menyampaikan pingat Jasamu Dikenang Tahun 2023 bagi sembilan orang pesara.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu akan dibina di seluruh negara.

Keseluruhan projek baru menelan peruntukan sebanyak RM44.8 juta membabitkan BBP Johor Bahru Sentral (RM10juta); BBP Taiping, Perak  (RM10juta); BBP Pulau Tioman, Pahang (RM8juta), BBP Kuarters Sungai Asap, Sarawak (RM8.4juta) dan BBP Kuarters Telupit, Sabah (RM8.4juta).

Bagi Pahang, katanya, pembinaan sebanyak empat balai iaitu BBP Pulau Tioman, BBP Gohtong Jaya, BBP Sungai Lembing dan BBP Benta telah diluluskan menerusi Rolling Plan 4 (RP4) (RMK12) bagi tahun depan. – MalaysiaGazette