SHAH ALAM – Polis telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes papan menu digital sebuah restoran makanan segera yang digodam oleh dua individu selepas diberkas pada minggu lalu.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan kes berkenaan juga sudah dilengkapkan oleh pasukan pegawai penyiasat kes tersebut.
“Kedua-dua suspek yang direman empat hari sejak minggu lalu untuk membantu siasatan lanjut dalam kejadian di Kuala Langat itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan dan kertas siasatan kes sudah dilengkapkan.
“Hari ini (Selasa) kita akan mengemukakan kertas siasatan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dengan cadangan pertuduhan di mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas hadir bersama Timbalannya Deputi Komisioner Datuk Sasikala Dewi Subramaniam dan menyempurnakan majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Narkotik Kontinjen Selangor bagi tahun 2023 di sini pagi tadi.
Sebelum ini, seorang pengurus sebuah restoran makanan segera membuat laporan polis memaklumkan papan menu makanannya telah digodam dengan tiba-tiba berubah kepada paparan gambar produk makanan mengandungi darah, bom, peluru dan tulisan “Proud Sponsors of Israeli Terorrism”.
Rentetan laporan polis itu polis berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 26 tahun yang disyaki bertanggungjawab terhadap perbuatan pengodaman itu pada 31 Oktober lalu dalam dua serbuan berasingan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
Hussein juga berkata, kedua-dua lelaki yang menggunakan modus operandi sama itu dipercayai mempunyai hubung kait di antara satu sama lain.
“Mereka terbabit dalam dua kes berbeza tetapi modus operandi sama di dua premis berbeza dan kita percaya kedua-dua suspek ada hubung kait dan direman sejak Jumaat minggu lalu,” katanya lagi.- MalaysiaGazette