Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) smenegaskan PKR sepatutnya menjadi seperti parti gabungan itu, Gerakan yang secara terang-terangan mengakui bahawa ia adalah ahli Liberal International (LI).

Ahli Partimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa parti itu bukan ahli berbeza dengan kenyataan pemimpin parti tersebut antaranya Nurul Izzah Anwar menyatakan bahawa PKR adalah ahli penuh pada 2016.

“Baik jadi macam Gerakan yang mengaku sebahagian daripada LI, tapi dia tak setuju dengan pendirian LI tentang Israel.

“Tidaklah Gerakan nak berbohong dan spin (putar belit) kepada rakyat Malaysia tapi PKR bermula dengan berbohong oleh Fahmi Fadzil kerana ia tidak menunjukkan konsisten dengan apa yang ada dalam laman web rasmi LI,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Malah Wan Fahysal berkata, Presiden LI, Dr. Juli Minoves turut menyatakan PKR adalah ahli pertubuhan itu.

“Kenapa ada ketidak konsisten kenyataan oleh ketiga-tiga pemimpin PKR,” katanya.

Semakan dalam laman web https://liberal-international.org/our-members/regions/asia/ mendapati Gerakan masih menjadi ahli LI manakala lambang PKR sudah dikeluarkan oleh pertubuhan tersebut.

Awal hari ini, Anwar mejelaskan parti itu tidak pernah menjadi ahli pertubuhan antarabangsa itu.

Anwar berkata, PKR tidak menjadi ahli LI apabila pertubuhan tersebut mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan rejim Israel. – MalaysiaGazette