Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Majlis Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2023.

BANGI – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menumpukan usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan pelajar bermula tahun depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan prestasi dan mutu pendidikan harus seiring dengan usaha kerajaan dalam memastikan isu prasarana dapat ditangani dengan segera.

“Kemudahan asas cukup tapi prestasi sama macam yang lalu kita tidak boleh terima. Minta bantuan kita bagi, tapi prestasi murid tidak berubah, kita tidak boleh terima,” katanya.

Beliau menyatakan demikiann ketika berucap pada majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Katanya, kestabilan politik dan kekuatan Kerajaan Perpaduan kini membuka peluang dan ruang untuk penumpuan diberikan kepada perkara lebih penting khususnya aspek pendidikan negara.

“Saya harap dengan kestabilan politik sekarang ini, kerajaan Perpaduan kita semakin kuat kita boleh tumpu kepada mutu pendidikan,” jelasnya.

Jelas Anwar, negara yang maju memerlukan tahap pendidikan yang sentiasa membangun.

“Kalau Malaysia mahu bersaing yang penuh dengan perubahan dan transformasi perlu tingkatkan mutu pendidikan. Negara kita tidak terangkat kalau mutu pelajaran kita tidak maju,” katanya.

Beliau berkata, kementerian dan sekolah perlu bekerjasama dengan ibu bapa untuk mencari langkah baru bagi memastikan usaha tersebut tercapai.

“Saya nak ditekankan mutu pendidikan ditekankan dalam perbahasan KPM dan KPT tidak payah fikir masalah lain tumpu sepenuhnya bagaimana penguasaan bahasa, semua mata pelajaran.

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) saya minta selain bincang perkara lain bincang juga bagaimana ibu bapa boleh beri perhatian untuk anak-anak lakukan ulang kaji sejam atau setengah jam setiap hari,” tambah beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi mengemukakan laporan dan cadangan prestasi murid kepadanya pada tahun depan.

“Langkah-langkah baru untuk memastikan prestasi pelajaran murid lebih baik daripada guru bertanggungjawab harus dikemukakan bersama cadangan. Saya nak salinan kepada pejabat PM,” katanya. – MalaysiaGazette