KUANTAN – Polis memburu lima lelaki, termasuk seorang suspek utama, yang dipercayai dalang sindiket rompakan cip kasino bernilai RM4.607 juta di Genting Higlands, baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kelima- lima supsek merupakan warga tempatan berusia antara 39 hingga 55 tahun dan mereka dipercaya masih berada dalam negara.
Pada 28 Oktober lalu pihaknya menerima satu laporan polis dari pengurusan keselamatan kasino Genting Highlands, berkaitan kejadian bilik kasino khas yang telah dipecah masuk dan sebanyak 1160 keping chip kasino yang bernilai RM 4,607,800 di dalam bilik berkenaan telah hilang disyaki dicuri.
”Seramai 10 orang lelaki yang terdiri daripada sembilan lelaki Cina tempatan dan 1 lelaki warganegara China yang berumur antara 30 hingga 59 tahun telah berjaya di tangkap kerana dipercayai terlibat di dalam kejadian ini.
”Manakala juga pihak polis telah mengenalpasti 5 orang suspek yang masih bebas dan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek-suspek ini masih giat dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, hari ini.
Pada 28 Oktober lalu, polis Pahang menerima laporan daripada pengurusan keselamatan sebuah kasino di Genting Highlands berkaitan bilik kasino khas dipecah masuk dan sebanyak 1,160 keping cip bernilai RM 4,607,800 hilang disyaki dicuri.
Setakat ini, polis berjaya merampa 428 keping cip bernilai RM2.997 juta dan wang tunai RM16,438 yang mana 149 keping cip dirampas daripada suspek.
Yahaya berkata, siasatan mendapati 279 keping cip telah ditunaikan oleh suspek diperolehi semula daripada kasino di Genting Highlands sementara baki 732 cip sedang dikesan.
Tambahnya siasatan yang dijalankan mendapati kejadian hanya disedari pada jam 10 padi 28 Oktober lalu setelah semakan rakaman CCTV dilakukan pengurusan kasino terbabit.
Berdasarkan rakaman CCTV berkenaan mendapati pada jam 7 pagi hari sama, dua lelaki telah masuk ke dalam bangunan yang menempatkan beberapa bilik kasino khas melalui laluan kecemasan dan seterusnya mengumpil pintu belakang bilik kasino tersebut, ujarnya.
Katanya, beberapa siri serbuan dan tangkapan dilakukan di sekitar Genting Highlands, Raub, Ampang dan Nilai oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong antara 29 Oktober hingga 1 November lalu.
Menurut Yahaya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 09-2222222 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette