KUANTAN – Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan asrama perempuan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pekan diceroboh masuk.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama MRSM bagi membantu siasatan yang tular di media sosial itu.
“Kita ada menerima laporan berhubung kes ini dan kes masih dalam siasatan. Polis juga sudah bertemu dengan pihak MRSM.
“Sama ada kes ini disyaki membabitkan orang dalam termasuk pelajar juga masih disiasat lanjut,” katanyan ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di sini hari ini.
Terdahulu tular di hantaran Facebook mendakwa asrama perempuan MRSM Pekan diceroboh sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa sejak kelmarin.
Dakwaan tersebut mencetuskan kegelisahan kerana selain asrama diceroboh, timbul kejadian pelajar diraba dan dicabul di asrama berkenaan.
Susulan itu Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, MARA memberi jaminan kes tular akan ditangani sebaik mungkin dan memastikan keselamatan pelajar di semua kemudahannya terus terjamin.- MalaysiaGazette