KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penguat kuasa direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes dakwaan meminta RM30,000 daripada seorang pemilik syarikat.
Sumber memberitahu, suspek warga tempatan disyaki melakukan perbuatan itu sebagai balasan untuk menutup kesalahan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tajaan penerbitan sebuah buletin.
Majistret, Mohamed Redza mengeluarkan perintah reman itu terhadap suspek selepas individu itu dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam pagi tadi untuk permohonan perintah reman oleh SPRM.
Lelaki itu yang dibawa dalam keadaan tangan bergari dengan berpakaian baju lokap direman selama tiga hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan lanjut SPRM.
Semalam, individu tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan SPRM pada jam sekitar pukul 4 petang di sebuah kafe di sekitar Subang Jaya berhubung kes dakwaan meminta suapan itu
Sumber menambah,suspek dipercayai menghubungi pemilik syarikat berkenaan pada bulan Oktober lalu dan meminta wang tersebut bagi tujuan berkenaan dan ia akan dilaksanakan untuk sebuah jabatan kerajaan.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan individu itu.
Katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette