Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad enggan mengulas mengenai desakan Lim Guan Eng (PH-Bagan) supaya mengemukakan bukti bahawa pemimpin DAP itu mempunyai tali persaudaraan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Siti Mastura yang ditemui di lobi Parlimen turut mengesyorkan supaya video ceramah beliau ditonton secara keseluruhan dan bukan separuh-separuh.

“Tengok video itu sampai habis, saya tidak menjawab soalan yang tidak tahu fakta,” katanya.

Hari ini, Guan Eng memberi tempoh 48 jam kepada Siti Mastura untuk membuktikan tuduhan tersebut.

Dalam svideo yang tular, Siti Mastura mendakwa Guan Eng mempunyai tali persaudaraan dengan Chin Peng dan Kuan Yew.

Bekas Menteri Kewangan Pakatan Harapan (PH) itu merujuk kepada penularan satu video ucapan Siti Mastura dalam program parti itudi Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Mastura turut mendakwa Guan Eng juga mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP seperti Anthony Loke, Nga Kor Ming, Teresa Kok dan  Datuk Ngeh Koo Ham. – MalaysiaGazette